My Add

Saturday 14 July 2012

Pemuda OKU maut motosikal terhumban dalam parit

MELAKA, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Seorang orang kelainan upaya (OKU) ditemui maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terhumban ke dalam parit di Taman Bukit Tembakau Indah Merlimau di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Mohamad Falzeli Mohd Nasir, 21, yang juga OKU pekak dan bisu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Tegoh, Pernu selepas berjumpa rakannya di kilang gula di Bukit Tembakau. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Shahidi Abdullah, berkata mangsa yang juga mempunyai penyakit lemah kaki dan tangan dipercayai lemas sebelum meninggal di tempat kejadian selepas terhumban dan gagal bangun sendiri akibat penyakit tersebut. 

"Mayat mangsa ditemui rakannya yang melalui jalan tersebut sebelum dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Sementara itu, ibu mangsa, Puspa Mohd Diah, 49, ketika ditemui di Hospital Jasin berkata, dia dan keluarganya tidak menyangka sikap termenung dan berdiam diri anak sulung daripada lima beradik itu adalah petanda mangsa akan pergi buat selama-lamanya. 

"Dua tiga hari sebelum kejadian, abang (Mohamad Falzeli) banyak tunjukkan sikap pelik. Abang salam mak cik dan ayahnya sebelum pergi kerja. Dia pun peluk kawan-kawannya sebelum pulang jumpa mereka pada malam kejadian," katanya. 

Puspa berkata, dia juga tidak menyangka kemalangan kali ketiga itu meragut nyawa mangsa yang baru bekerja selama empat bulan sebagai pencuci kereta. 
Katanya, mangsa pernah terbabit dalam kemalangan membabitkan kereta dalam perjalanan pulang dari sekolah ketika berusia 12 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment