My Add

Monday 16 July 2012

Komitmen kerajaan dalam FIM 2012 dipuji

KUALA LUMPUR, AHAD, 15 Julai, 2012: Singapura dan Indonesia yang menghantar wakil peniaga francaisnya ke Francais Antarabangsa Malaysia 2012 (FIM 2012), memuji peranan kerajaan negara ini yang komited memperkembangkan industri francais tempatan.

Wakil Singapura dan Indonesia mengakui timbul perasaan iri hati apabila FIM 2012 mendapat sokongan penuh menteri-menteri di Malaysia.

Pengerusi Persatuan Francais Indonesia, Anang Sukandar berkata, beliau menyertai FIM sejak 18 penganjuran yang lalu, mendapati menteri negara ini tidak pernah gagal memberikan sokongan.

"FIM dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika masih mengetuai kerajaan kerana mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat francais serantau.

"Semangat itu kini diteruskan oleh kementerian yang bertanggungjawab," kata beliau kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran FIM 2012 di sini, baru-baru ini.

Menurut Anang, situasi itu cukup berbeza di Indonesia kerana kerajaan negara itu kurang memberi perhatian kepada industri francais.

Malah, katanya, usaha untuk menjemput menteri bagi menyertai sebarang aktiviti berkaitan francais juga amat sukar.

"Di Indonesia, kami harus mencari pasaran sendiri. Untuk menyertai pameran di luar negara, kami terpaksa menggunakan duit poket sendiri," kata Anang.

Beliau turut memuji kesungguhan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri yang beberapa kali mengunjungi Indonesia bagi mencari peluang pasaran kepada francais Malaysia.

Perkara yang sama turut diakui oleh wakil francais Singapura, Albert Kong sambil menyifatkan komitmen menteri dan penambahbaikan dalam industri itu merupakan sokongan moral oleh kerajaan.

Katanya, usaha kerajaan Malaysia menawarkan sistem pinjaman mikro kepada usahawan yang berminat untuk menceburi industri francais, dipandang tinggi kerana ia tidak dilakukan oleh semua negara.

"Malaysia memiliki tanah yang lebih luas serta banyak sumber serta pengurusan yang efisien mampu menjadikan negara ini pusat francais serantau," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment