My Add

Thursday 12 July 2012

Krisis air di Selangor, KL, Putrajaya sudah bermula: SYABAS

SHAH ALAM, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Krisis air yang diramal berlaku dalam masa beberapa tahun lagi, sebenarnya sudah melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berdasarkan situasi terkini permintaan air yang melebihi kapasiti bekalan sedia ada.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Datuk Lee Miang Koi, berkata terdapat empat ciri situasi iaitu yang pertama rizab bekalan air kurang daripada tiga peratus secara keseluruhan di semua negeri (berbanding dengan permintaan purata).

Katanya, apabila berlaku permintaan puncak pada bila-bila masa (yang boleh mencecah tujuh peratus) kapasiti bekalan air tidak dapat menampung permintaan. 

"Berdasarkan kepada keadaan terkini iaitu bagi tempoh Mei hingga awal bulan ini, rezab bekalan air secara keseluruhan adalah antara 1.15 peratus hingga kira-kira 2.04 peratus," katanya ketika menyampaikan taklimat pada Forum Mengenai Isu Bekalan Air Selangor anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di sini hari ini.

Beliau berkata, ciri kedua ialah terdapat perbezaan permintaan dan kapasiti bekalan air antara wilayah yang menyebabkan gangguan bekalan air dan tekanan rendah berterusan melebihi 10,000 akaun pengguna membabitkan 50,000 penduduk di kawasan 'water stressed'.

Katanya, sehingga awal bulan ini, sebanyak 209,678 akaun pengguna merangkumi satu juta pengguna menghadapi masalah gangguan bekalan air.

"Ciri ketiga ialah tempoh gangguan bekalan air berlarutan lebih daripada sebulan bermula pertengahan Mei lalu dan tiada kepastian bilakah masalah berkenaan boleh diselesaikan. 

"Ciri terakhir ialah masalah kekurangan bekalan air akan meruncing berikutan peningkatan permintaan air dan tiada kepastian mengenai persediaan peningkatan kapasiti bekalan air," katanya.

Beliau berkata SYABAS sudah memberikan taklimat mengenai cadangan pembangunan kapasiti bekalan air tambahan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan barisan Exco pada 27 Julai 2010, namun tiada sebarang maklum balas diterima sehingga kini.

Malahan, katanya, kerajaan negeri sudah menahan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 serta mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa bekalan air terawat mencukupi sehingga 2019 dan tidak perlu untuk membangunkan skim bekalan air yang baru. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment