My Add

Thursday 12 July 2012

Laporan SELCAT mengenai pembangunan tanah PKNS diteliti

SHAH ALAM, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Kerajaan negeri Selangor akan meneliti rumusan hasil pendengaran Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) mengenai cadangan pembangunan tanah padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di SS7, Kelana Jaya, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Beliau yang juga Pengerusi PKNS berkata, perkara itu perlu dibuat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan. 

"Buat masa ini, kebenaran merancang untuk pembangunan di atas tapak padang PKNS ini ditolak Jawatankuasa Pusat Sehenti (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) yang bersidang pada 8 Jun lalu. 

"Ini sebab permohonan PKNS itu tidak selaras dengan laporan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ2)," katanya ketika menjawab soalan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. 

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Khim ketika mempengerusikan pendengaran awam Selcat 6 Julai lalu mengenai cadangan pembangunan tanah PKNS berkata RTPJ2 yang diwartakan pada 13 Januari 2011 oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD)Selangor perlu dibatalkan kerana ia dibuat tidak mengikut undang-undang. 

Beliau dilaporan berkata, "kerajaan negeri boleh membatalkan (RTPJ2) dengan nasihat daripada penasihat undang-undang negeri." 

RTPJ2 adalah dokumen yang menimbulkan kontroversi apabila laporan yang dirujuk oleh JPBD negeri mendapati padang awam milik PKNS telah dizonkan sebagai kawasan lapang dan rekreasi manakala dokumen yang dirujuk oleh MBPJ pula dizonkan sebagai zon komersial. 

Abdul Khalid turut meminta PKNS untuk melihat semula perjanjian yang dibuat untuk membangunkan padang miliknya itu untuk menentukan sama ada kepentingan kerajaan negeri dan rakyat setempat diambil kira dalam projek itu. 

Sementara itu, Sulaiman mendakwa, harga rumah teres dan rumah kedai yang dimajukan PKNS di Shah Alam ditawarkan pada harga tinggi iaitu antara 400,000 dan RM500,000. 

"Sebagai contoh, rumah teres tidak dijual bawah RM200,000 dan rumah semi D di Seksyen 7, Shah Alam ada dijual sekitar RM1.2 juta ke atas," katanya. 

Beliau berkata, PKNS sendiri boleh mengawal harga itu untuk memberikan manfaat kepada rakyat Selangor memandangkan polisi kerajaan negeri yang menghentikan konsep usahasama oleh syarikat swasta untuk membangunkan projek di bawah kelolaan PKNS. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment