My Add

Thursday 12 July 2012

Nelayan karam diselamatkan kapal dagang

KUCHING, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Seorang nelayan terpaksa bertarung nyawa selama 15 jam di laut sebelum diselamatkan sebuah kapal dagang selepas bot yang dinaikinya bersama seorang rakan karam di perairan Pulau Lakei dekat sini, lewat petang semalam. 

Pengarah Operasi Maritim Wilayah Sarawak, Kapten Maritim Abdul Razak Lebai Omar berkata, nelayan itu Wahab Draman, 36, diselamatkan kapal LPG ELBA pada kira-kira 7 pagi ini manakala rakannya Abdul Hadi Bahari,28, diselamat kapal MTT PINANG pada kira-kira 10 malam, semalam. Beliau berkata, kedua-dua mereka memakai jaket keselamatan. 

"Wahab dilaporkan terpaksa bertarung nyawa selama 15 jam di laut sebelum diselamat oleh kapal LPG ELBA pada 7 pagi ini dalam keadaan lemah," katanya ketika dihubungi dan menurutnya kedua-dua nelayan sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak di sini. 

Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak yang menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada ibu pejabat di Putrajaya kira-kira 10 malam tadi telah menggerakkan sebuah kapal dan tiga buah bot laju ke tempat kejadian. 

Bot nelayan tersebut dilaporkan karam kira-kira 3.7 batu nautika dari Pulau Lakei setelah mengalami kebocoran pada pam utama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment