My Add

Monday 9 July 2012

Lebih 50,000 rakyat sambut ketibaan PM di Bangi

*NAJIB gembira melihat baju yang bercetak wajahnya dan dipakai oleh seorang warga istimewa, Wan Suhaimi Wan Ismail, 50, ketika menikmati sarapan pagi di Pasar Seksyen Satu, Bangi, sempena Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Selangor, semalam. Turut kelihatan, Mohd. Zin Mohamed (kanan) dan Noh Omar.

KUALA LUMPUR, AHAD, 8 Julai, 2012: Lebih 50,000 orang menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) Peringkat Negeri Selangor di Teras Jernang, Bandar Baru Bangi hari ini.

Karnival yang berlangsung di tapak letak kereta, Akademi Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini padat dengan ribuan rakyat seawal pukul 8 pagi.

Ketibaan Perdana Menteri kira-kira pukul 11 pagi di tapak karnival JJD itu disambut dengan sorakan 1Malaysia dan nyanyian lagu 'Inilah Barisan Kita'.

Bukan setakat itu, rata-rata rakyat yang hadir bersama-sama berbaju jingga tanda sokongan kepada karnival yang masuk kali ke-6.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Selepas ucapan perasmian, Najib dan Rosmah mengambil kesempatan melawat kira-kira 30 gerai yang ada di tapak karnival.

Antara gerai yang dilawati adalah gerai Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Telekom Malaysia dan gerai 1MDB.

Terdahulu, Najib sempat beramah mesra dan bertemu dengan penduduk tempatan di Pasar Awam Seksyen 1 di sini.

Sebaik tiba pada pukul 9 pagi, orang ramai mengambil peluang bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara sebelum beliau memulakan tinjauan mesra bermula di kawasan pasar ikan, daging dan sayur-sayuran serta menyusuri gerai-gerai lain.

Najib kemudian bersama penduduk tempatan bersarapan dengan pelbagai juadah.

Sambil bersarapan, orang ramai mengambil kesempatan menyapa dan menyuarakan permasalahan mereka kepada Perdana Menteri.

Turut bersama Najib pada majlis tersebut adalah beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor seperti Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Serdang, Datuk Mohd Fathil Daud yang juga Penyelaras DUN Bangi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment