My Add

Friday 6 July 2012

Malaysia berkedudukan baik atasi FDI 2011 - AS$11.97 bilion

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Julai, 2012: Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mengatasi jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) tahun lalu yang berjumlah AS$11.97 bilion, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kita tahu ia sukar, tetapi atas dasar apa yang kita telah terima dari segi permohonan, pertanyaan dan kelulusan setakat ini, minat terus kukuh.

"Dalam persekitaran yang mencabar sekarang ini, adalah lebih penting bagi kita menjalankan promosi yang agresif," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Pelaburan Dunia Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2012 di sini, malam tadi. 

Menurut laporan itu, Malaysia menduduki tempat ketiga bagi aliran masuk FDI ke dalam ASEAN tahun lalu, dengan Singapura dan Indonesia berada di atas, masing-masing dengan AS$64 bilion dan AS$18.91 bilion, manakala Thailand menduduki tangga keempat dengan AS$9.57 bilion.

Ketua Seksyen Isu-isu Pelaburan Bahagian Pelaburan UNCTAD mengenai Perusahaan Pelaburan, Trend Pelaburan dan Isu, Prof Dr Hafiz Mirza, berkata empat negara itu berada di barisan hadapan dalam ASEAN dengan tiada lagi negara lain di rantau ini yang hampir dengannya.

"Pada pandangan saya, Malaysia kekal satu daripada negara terkuat kerana sektor perkhidmatan dan pembuatannya, dan ia tidak mungkin kedudukan negara jatuh," katanya.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa aliran masuk FDI mencecah rekod baru dalam sub-rantau Asia Timur dan Asia Tenggara tahun lepas, meningkat 14 peratus kepada AS$336 bilion, menguasai 22 peratus daripada jumlah di seluruh dunia. 
Hafiz berkata, Asia Tenggara kekal memainkan peranan penting dalam ekonomi global dan akan terus berada dalam parameter kepentingan bagi aliran masuk FDI. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment