My Add

Friday 20 July 2012

MCA tidak akan keluar BN

PAGOH, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan MCA sebagai teman sejati dalam Barisan Nasional (BN) kerana parti komponen itu sanggup susah dan senang bersama walaupun dalam suasana politik masa kini yang amat mencabar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kesanggupan itu mengukuh serta mematangkan lagi hubungan antara parti komponen BN sekali gus menjadikan BN bertambah kuat.

"Kita ada semangat kekeluargaan dan yang penting zaman susah kita sama-sama susah, MCA tidak ada mahu keluar BN pun, ia tetap sebahagian anggota BN dan selama-lamanya menjadi komponen penting dalam BN.

"Jadi, masyarakat Cina harus terus beri sokongan kepada BN. Sudah terbukti BN bawa banyak kemajuan kepada sosial, ekonomi dan negara kita," katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita MCA Bahagian Pagoh 2012 di Dewan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Pekan Lenga, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyerahkan sumbangan sebanyak RM390,000 untuk keperluan empat buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini.

Terdahulu, beliau menyertai majlis bacaan Yasin dan tahlil serta penyampaian sumbangan kepada surau serta masjid di kawasan Parlimen Pagoh sempena Ramadan di Masjid Kampung Olak Sepam, di sini.

Setiap surau menerima sumbangan berjumlah RM1,000 manakala masjid RM2,000, selain turut menerima bantuan makanan.

Menurut Muhyiddin, pembangkang khususnya DAP hanya menabur janji kosong dan tidak seperti BN yang membantu dan menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira kaum.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, akhbar Cina juga harus memainkan peranan positif supaya tidak tersalah lapor atau menyiarkan berita tidak betul yang boleh menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan sepanjang tahun ini sudah membelanjakan sebanyak RM16 bilion untuk 18 buah SJKC dan rumah ibadat serta pelbagai keperluan lain di daerah ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment