My Add

Wednesday 18 July 2012

Pelajar Malaysia di Iowa tumpang rumah rakan

NEW YORK, RABU, 18 Julai, 2012: Pelajar Malaysia yang terlibat dalam kebakaran di kompleks pangsapuri South Meadow Apartments, Ames, Iowa, kini menumpang di rumah rakan di kompleks yang sama buat sementara waktu. 

Seorang daripada mereka, Mohamad Khairi Zulkarnain berkata mereka kini sibuk menguruskan pelbagai perkara termasuk mendapatkan kembali dokumen peribadi yang musnah dalam kejadian Ahad lalu itu."Alhamdulillah, kami ditemani oleh pegawai Jabatan Penuntut Malaysia dan Kedutaan Malaysia untuk membuat laporan polis. 

"Selain itu, kami ke International Student Center untuk mendapatkan semua maklumat peribadi bagi beberapa urusan berkaitan serta sudahpun memohon mendapatkan pasport baru kerana pasport terbakar dalam kebakaran itu," katanya ketika dihubungi Bernama dari sini, Selasa. 

Kejadian awal pagi itu mengakibatkan kira-kira 100 penghuni termasuk 17 penuntut Malaysia yang mendiami 56 unit rumah di kompleks pangsapuri terbabit kehilangan tempat tinggal. 

Ketika kejadian hanya empat penuntut Malaysia berada di kediaman mereka, sementara 13 lagi sedang bercuti iaitu tiga berada di tanah air dan bakinya melancong di sekitar negara ini. 

Empat pelajar terbabit yang semuanya berusia 21 tahun dan menuntut di tahun dua jurusan kejuruteraan di Iowa State University, hanya sempat menyelamatkan dompet dan telefon bimbit masing-masing. 

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, setakat ini mereka menerima pelbagai bantuan termasuk dari American Red Cross yang menyumbang AS$160 dalam bentuk kad kredit serta baucar AS$50 daripada Salvation Army. 

"Beberapa keluarga pelajar Malaysia yang tinggal di sekitar kawasan kami juga turut membantu dari segi penyediaan makanan dan beberapa bantuan lain. 

"Buat masa ini, kami akan ke kelas seperti biasa, kerana tidak mahu banyak ketinggalan dalam pelajaran, selain turut mendapat bantuan daripada pensyarah dalam soal pembelajaran kami," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment