My Add

Thursday 26 July 2012

Pemimpin UMNO perlu buang segera sifat warlord

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Julai, 2012: Pemimpin-pemimpin UMNO yang mempunyai sifat warlord wajar segera membuang sikap buruk itu sekiranya mereka mahu melihat parti terus diterima rakyat.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, semua pihak harus sedar bahawa usaha untuk menonjolkan calon boleh menang tidak akan kesampaian sekiranya perkara tersebut tidak diberikan perhatian.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah memberi mesej yang cukup jelas berhubung isu tersebut iaitu hanya orang UMNO sahaja yang sedia berjuang dan berkorban untuk parti terbesar orang Melayu itu.

"Demi masa depan UMNO, sifat warlord perlu dibuang dengan segera. Dengan cara apa? Iaitu dengan cara kembali menjadi orang UMNO.

"Hanya orang UMNO yang sedia berjuang dan berkorban untuk parti," katanya ketika menjadi panel membincangkan sesi bertajuk Dari Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 ke PRU Ke-13: Barisan Nasional (BN) vs (Pakatan Rakyat) PR, Satu Penilaian pada Perbincangan Meja Bulat PRU-13: Malaysia Pilih Siapa? di sini hari ini.

Selain beliau, turut serta sebagai ahli panel ialah Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Editor Politik The Sun, Zainon Ahmad.

Penolong Ketua Pengarang I, Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berperanan sebagai moderator.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivamurugan berkata, dalam usaha UMNO serta BN menampilkan calon boleh menang, pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk memperkenalkan calon dalam kalangan ahli biasa.

"Jika ini berlaku, mereka yang tidak terpilih termasuk golongan pemimpin perlu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Zainon ketika ditanya mengenai pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap politik negara, beliau tidak menafikan fakta tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, sejauh mana kekuatan pengaruh yang dimiliki oleh Anwar ketika ini masih boleh dipersoalkan.

Kok Seong ketika membincangkan isu sama mengakui kecenderungan kaum Cina menyokong Anwar lebih bersifat undi harapan selepas mereka mula menjauhkan diri daripada UMNO dan MCA.

Hakikatnya beliau berkata, kaum Cina ketika ini lebih berpihak kepada pakatan pembangkang berbanding kerajaan sejak PRU-12 lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment