My Add

Saturday 7 July 2012

Pengaruh Anwar di Indonesia tak sehebat gambaran: tpm

NUSA DUA, SABTU, 07 Julai, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya pemimpin kerajaan dan parti politik di Indonesia tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pengaruh beliau di republik itu tidak sehebat gambaran yang diberikannya. 

Beliau berkata, tokoh pemimpin di Indonesia kini semakin memahami iklim politik Malaysia dan memilih untuk mengakui hubungan bilateral yang baik, yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Indonesia.

"Bagi saya tidaklah sebegitu rupa sebagaimana yang digambarkan oleh beliau (Anwar) seolah-olah dia (Anwar) di Indonesia cukup berpengaruh. 

"Saya tidak melihat begitu. Dalam media tempatan, dia tidak mengambil ruang yang besar seolah-olah apa yang Anwar lakukan cukup hebat," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini. 

Muhyiddin berada di Indonesia dalam rangka lawatan enam hari bagi meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia selain berbincang mengenai isu yang sering mengganggu hubungan di peringkat rakyat di kedua-dua negara. 

Di awal lawatan pada 3 Julai lalu, Muhyiddin bertemu dan berbincang dengan Naib Presiden Indonesia, Boediono serta pemimpin tiga parti politik terbesar di Indonesia semasa di Jakarta. 

Pemimpin parti politik itu ialah Ketua Umum parti Golkar, Aburizal Bakrie; Ketua Umum parti Demokrat, Annas Urbaningrum dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (DPI-P), Megawati Sukarnoputeri. 

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, mengetuai delegasi pemimpin UMNO dalam pertemuan dengan ketiga-tiga parti politik Indonesia itu. 

"Saya percaya pemimpin Indonesia dan parti politik lebih memahami keadaan sebenar. Lebih-lebih lagi kita ada hubungan akrab antara kerajaan dan kerajaan," katanya. 

Muhyiddin bagaimanapun tidak menolak kenyataan bahawa Anwar mempunyai kenalannya di Indonesia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment