My Add

Wednesday 11 July 2012

SPR belum terima jawapan pemerhati luar untuk PRU-13

KUALA LUMPUR, RABU, 11 Julai, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima sebarang maklum balas dari beberapa buah negara luar yang dilantik menjadi pemerhati antarabangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, SPR telah menjemput beberapa negara luar menjadi pemerhati antarabangsa semasa proses pilihan raya umum tersebut antaranya dari Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain.

“SPR juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bergabung menjadi satu pasukan pemerhati dalam negeri pada pilihan raya umum itu nanti.

“Makluman itu memudahkan mereka sebagai satu pasukan dan menjadi pemerhati di 222 buah kawasan parlimen seluruh negara jika inisiatif ini menjadi kenyataan," katanya semasa menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin di Dewan Negara hari ini.

Muhamad Yusof ingin tahu adakah kerajaan bercadang menerima pemerhati luar negara pada pilihan raya umum tersebut.

Vui Keong berkata, selepas proses pilihan raya selesai pemerhati yang dilantik akan membuat laporan dan diserahkan kepada SPR.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Muhamad Yusof, beliau berkata, terdapat ramai pegawai yang akan bertugas semasa pilihan raya umum tersebut yang dilantik oleh SPR dan mereka akan diberi latihan dan kursus tentang peraturan serta undang-undang semasa proses pilihan raya berlangsung. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment