My Add

Tuesday 10 July 2012

Pilihan raya serentak untuk manfaat rakyat: Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR, ISNIN, 09 Julai, 2012: Semua pemimpin parti politik termasuk pembangkang perlu mencapai persetujuan bersama untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. 

Beliau berkata, walaupun undang-undang membenarkan kedua-dua pilihan raya itu diadakan secara berasingan, namun pemimpin politik wajar mengambil kira kepentingan bersama dalam hal terbabit. 

Katanya, proses pengundian serentak dapat memberi fokus untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat dan bukannya memperjuang dasar-dasar politik semata-mata, di samping dapat mengelakkan pembaziran daripada segi kos, tenaga kerja dan juga masa. 

"Dalam undang-undang membenarkan mana-mana kerajaan memerintah atau kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut tarikh yang mereka suka.

Namun, adalah lebih baik sekiranya semua parti politik dapat mencapai persetujuan bersama untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri serentak dengan Parlimen dalam pilihan raya ke-13 nanti," katanya. 

Liew berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Chew Lee Giok yang meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan negeri mempunyai hak untuk menentukan tarikh pilihan raya umum sendiri tanpa mengikut tarikh pilihan raya yang ditetapkan oleh kerajaan pusat. 

Menjawab soalan tambahan Chew, Liew berkata: "Pihak kerajaan memang diberi kuasa untuk membubarkan Parlimen sebelum genap mandat lima tahun dan Fasal 3 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan pula memberi kuasa kepada parti kerajaan untuk menentukan tarikh pilihan raya. Ada pihak mengatakan lima tahun bermakna lima tahun. 

"Pada pandangan saya, kita tidak boleh terikat kepada mandat lima tahun kerana ada kalanya, sekiranya berlaku krisis seperti undi tidak yakin kepada kerajaan ataupun ahli-ahli kerajaan keluar dari parti, maka Parlimen boleh dibubarkan." 

Menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin sama ada Kerajaan Persekutuan sedia berunding dengan kerajaan negeri (yang dikuasai oleh pembangkang) untuk bermuafakat mengenai tarikh pilihan raya, Liew berkata, Kerajaan Persekutuan sedia berjumpa untuk berbincang dengan kerajaan negeri tersebut untuk mengadakan pilihan raya serentak demi kebaikan rakyat jelata. 

Pada Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata satu perbincangan bersama Peguam Negara akan diadakan bagi berbincang cadangan memastikan pilihan raya umum diadakan setelah tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment