My Add

Friday 20 July 2012

PRS: Pekerja, majikan berbeza pendapat

KUALA LUMPUR, KHAMIS,19 Julai, 2012: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan pelancaran Skim Persaraan Swasta (PRS) sebagai langkah terbaik untuk memperkasakan ekonomi golongan yang bekerja sendiri setelah mereka bersara kelak.

Timbalan Presidennya, Mohd. Jaafar Abd. Majid berkata, selain menerapkan nilai menabung dalam kalangan golongan berkenaan, skim tersebut juga menawarkan dividen yang jauh lebih baik berbanding bank.

Katanya, ia dapat menjamin golongan bekerja sendiri termasuk nelayan, petani, peladang, pemandu teksi dan peniaga kecil-kecilan mengekalkan keupayaan ekonomi masing-masing meskipun selepas bersara.

"Skim ini membantu golongan yang tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyimpan pendapatan mereka. Ia adalah langkah yang dapat memperkasakan kebajikan golongan tersebut selepas bersara.

"Kalau menyimpan di bank, wang tersebut akan sewenang-wenangnya dikeluarkan menyebabkan simpanan semakin susut. Namun, melalui PRS, golongan tersebut tidak dapat menyentuh wang tersebut sehingga mereka berumur 65 tahun. Inilah disiplin yang memanfaatkan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan PRS yang memberi peluang kepada golongan pekerja dan mereka yang bekerja sendiri membuat simpanan persaraan secara sukarela bermula September ini.

Mengumumkan berita gembira itu, Perdana Menteri berkata, PRS diwujudkan untuk memastikan setiap orang dewasa produktif yang masih muda dan generasi Malaysia akan datang mempunyai tabungan dan simpanan aset kewangan mencukupi menjelang persaraan mereka.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan pula khuatir golongan pekerja tidak memahami risiko yang akan ditanggung mereka sekiranya mencarum dalam PRS.

Katanya, berbeza dengan caruman KWSP yang dilindungi peruntukan undang-undang, pengendalian PRS dilihat tidak mempunyai sebarang track record untuk dirujuk golongan pekerja.

"Justeru, saya mencadangkan supaya pekerja diberi penjelasan sewajarnya berhubung risiko yang bakal mereka hadapi sekiranya mencarum pada PRS. Ini penting memandangkan ia melibatkan simpanan pendapatan mereka," ujarnya, - UTUSAN - 

No comments:

Post a Comment