My Add

Saturday 21 July 2012

Rakyat perlu bijak , jangan salah pilih pemikmpin: Najib

PEKAN, JUMAAT, 20 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu bijak memilih pemimpin yang mampu menjaga keamanan dan kemakmuran negara seterusnya membawa kejayaan pada masa depan.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu seterusnya membolehkan rakyat menjalankan aktiviti dengan bebas terutama bagi umat Islam untuk menunaikan ibadat dengan selesa.

"Kalau kita salah pilih (pemimpin), letak orang tidak kena pada tempat, maka nikmat kemakmuran itu mungkin terlepas daripada kita.

"Setakat orang itu baik sahaja, belum cukup lagi, ada orang dilihat nampak baik, cuba nampak dia baik tapi tak baik. Meskipun dia baik tapi tidak ada kemampuan tak jadi juga.

"Untuk tadbir negara, kita mesti ada kemampuan, mesti tahu untuk buat urusan dalam negara, membuat dasar, menjana kekayaan dan hubungan dengan negara-negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Pekan di Bangunan UMNO Pekan, di sini hari ini.

Sebanyak 227 masjid dan surau di bawah Parlimen itu menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM3,000 dan RM1,000.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan pemberian kain ela untuk dibuat jubah kepada imam dan ahli jawatankuasa masjid serta surau di kawasan Parlimen berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sumbangan berkenaan akan membolehkan kariah masjid menjalankan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya, mereka dapat mengadakan majlis berbuka puasa, bertadarus dan sebagainya dalam keadaan yang lebih selesa.

"Allah telah kurniakan begitu banyak nikmat, yang paling besar Islam itu sendiri kerana Islamlah yang paling mulia dan tinggi," katanya.

Beliau berkata, keamanan negara yang dikecapi rakyat khususnya umat Islam membolehkan mereka menjalankan ibadat tanpa sekatan.

"Kalau kita tidak dapat nikmat keamanan, kita mahu lakukan ibadat pun tidak kesampaian. Kita juga bertuah kerana dapat nikmat rezeki yang Tuhan kurniakan.

"Sebagai kerajaan, kita dapat tadbir negara dengan baik dan sebab itu, rezeki bertambah serta dinikmati oleh seluruh rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment