My Add

Thursday 26 July 2012

Selangor tetap tidak berganjak dengan keputusan

SHAH ALAM, RABU, 25 Julai, 2012: Kerajaan negeri memutuskan tidak akan mengeluarkan sebarang arahan pembangunan membenarkan Kerajaan Pusat melaksanakan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bagi mengatasi krisis bekalan air terawat di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri mahu meneruskan pengambilalihan pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan telah menyediakan dokumen-dokumen bagi membolehkan ia dilaksanakan.

"Kita berpandangan Kerajaan Pusat masih belum membuat keputusan menolak cadangan kerajaan negeri mengambil alih Syabas kerana mereka menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengemukakan pandangan dan ulasan mengenai perkara itu.

"Jadi, di peringkat kerajaan negeri, kita telah menyediakan dokumen untuk membolehkan kita mengambil alih pengurusan Syabas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, pihaknya tidak akan campur tangan berhubung keputusan meneruskan projek Langat 2 yang mana tawaran tender akan dibuka dalam tempoh sebulan lagi seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan negeri akan menghantar empat Exconya iaitu Teresa Kok; Ronnie Liu; Dr. Xavier Jayakumar dan Iskandar Abdul Samad untuk mengadakan pertemuan dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) mengenai pelaburan projek Langat 2.

"Setakat ini, kita menetapkan sebarang kelulusan membabitkan pembangunan Langat 2 tidak akan dibuat oleh pegawai kerajaan, tetapi harus melalui Menteri Besar untuk persetujuan," jelasnya.

Pada 23 Julai lalu, Muhyiddin selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Isu-isu Air Selangor mengumumkan menolak cadangan Selangor mengambil alih Syabas setelah mendapati terdapat perkara membabitkan prosedur yang tidak dapat dipenuhi kerajaan negeri dan syarikat itu.

Bagaimanapun, menurut Muhyiddin, Kerajaan Pusat akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara berhubung perkara tersebut selain memutuskan akan meneruskan projek Langat 2 secepat mungkin.

Dalam pada itu, meskipun wujud kegagalan pematuhan prosedur oleh kerajaan negeri untuk mengambil alih Syabas, Abdul Khalid tetap menyalahkan syarikat tersebut kononnya gagal membekalkan air terawat secukupnya kepada pengguna seperti dipersetujui dalam Perjanjian Penswastaan Air 2004.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pemantau Air yang ditubuhkan kerajaan negeri, dakwa beliau, Syabas telah beroperasi di bawah keupayaan sebenar apabila mengagihkan 4,371 juta liter sehari air terawat sedangkan pengeluaran di kesemua 34 loji rawatan air terawat di negeri ini adalah sebanyak 4,807 juta liter sehari.

Selain itu, tambahnya, krisis bekalan air terawat tidak akan berlaku kerana Projek Mitigasi I yang dilaksanakan ketika ini siap sepenuhnya pada Mac 2013 dan akan meningkatkan pengeluaran air kepada 5,139 juta liter sehari.

Kapasiti air itu, kata beliau, adalah lebihan 768 juta liter sehari berbanding keupayaan agihan Syabas.

"Begitu juga dengan peratusan rizab air sebanyak dua peratus yang dilaporkan Syabas tidak tepat dan mengelirukan.

"Rizab kapasiti pengeluaran sebenar pada masa ini adalah 11 peratus dan akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek mitigasi siap sepenuhnya," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment