My Add

Thursday 26 July 2012

Tidak perlu pentadbiran bersifat populis

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan tidak perlu mempunyai pentadbiran yang bersifat populis dengan memberi pelbagai sumbangan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Perdana Menteri berkata, sifat populis itu tidak mampu meletakkan asas kukuh kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan akibatnya pemberian atau sumbangan kepada rakyat tidak akan berpanjangan.

"Kalau hendak pulun (sumbangan) sahaja, berapa lama boleh bertahan. Jawapannya tidak lama. Sebagai manusia kalau asyik berbelanja sahaja lama-lama akan habis juga.

"Bukit yang tinggi kalau dikikis lama-kelamaan akan menjadi tanah datar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan cek kepada Masjid Al-Mustaqim di Taman Nirwana, Ampang, dekat sini hari ini.

Beliau yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor telah menyerahkan cek sumbangan sebanyak RM2 juta bagi pembinaan masjid berkenaan, selain sejumlah RM1.45 juta kepada masjid dan surau di Selangor.

Najib dan isteri yang disambut kira-kira 3,000 penduduk turut menyampaikan sumbangan kepada ibu-ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Tegas Najib, untuk membuat janji kepada rakyat bukanlah sesuatu yang mencabar berbanding memastikan pemberian yang diagihkan tidak menjejaskan ekonomi negara.

''Ini supaya agihan berkenaan boleh terus dilakukan dan pembelaan terhadap rakyat berpanjangan.

"Ini adalah falsafah Barisan Nasional (BN) dalam mengolah dan memperkasakan dasar ekonomi yang mapan serta membangunkan kekayaan negara.

"Kalau kita melaksanakan dasar populis, ekonomi tidak berkembang, tidak mampu menarik pelaburan dan tidak akan berupaya menyelesaikan masalah keperluan asas rakyat. Maka kemakmuran hanya dapat dinikmati dalam jangka pendek sahaja," ujar beliau.

Najib berkata, melalui dasar transformasi yang dilakukan oleh kerajaan telah menyaksikan perubahan besar dalam ekonomi Malaysia.

Sementara itu ketika berucap pada majlis beramah mesra dan moreh di Surau Taman Sri Angsana Hilir, Ampang, dekat sini malam ini, Najib berkata:

Pemberian bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan awam serta bayaran RM500 kepada pesara kerajaan adalah bukti kemampuan BN mengurus ekonomi dan mentadbir negara.

Katanya, tanpa kemampuan pengurusan ekonomi dan negara yang mantap tidak mungkin kakitangan awam, pesara dan rakyat menikmati pelbagai bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan sebelum ini serta menunaikan segala janji dalam masa tiga tahun.

Terdahulu, Najib dan isteri menunaikan solat isyak serta tarawih bersama-sama lebih 1,000 penduduk di surau berkenaan dan sempena lawatan tersebut beliau meluluskan peruntukan RM400,000 bagi menaik taraf Surau Taman Sri Angsana Hilir. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment