My Add

Tuesday 17 July 2012

Sokongan bukan Melayu terhadap BN meningkat - Zahid

*DR. Ahmad Zahid Hamidi melihat cenderamata daripada Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Nasir Ali (kanan), Zulkifeli Mohd. Zin (empat dari kiri), Ismail Ahmad (tiga dari kiri), Abdul Aziz Jaafar dan Abdul Aziz Ishak (kiri) di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 Julai, 2012: Sokongan masyarakat bukan Melayu terutamanya kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN) secara senyap-senyap semakin meningkat dan bertambah baik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, petanda positif itu hasil daripada program transformasi politik yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang boleh dikatakan masyarakat Cina kini semakin puas hati. Walaupun mereka tidak berterus terang, secara senyap-senyap mereka telah berubah hala kepada BN," katanya selepas melawat Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang tiba kira-kira pukul 11.45 pagi dengan rombongan 40 orang disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, yang turut diiringi Pengarah Eksekutif, Datuk Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Turut menyertai lawatan tersebut yang meninjau Jabatan Editorial Utusan Malaysia dan Kosmo! serta beramah mesra dengan kakitangan akhbar berkenaan ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Ketua Staff Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Abu Bakar Md Said dan wakil Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mahdi Yusof.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Ishak Yeop Hamzah.

Tegas Ahmad Zahid, maklum balas dan reaksi itu merupakan petanda cukup baik selepas BN menghadapi ‘tsunami politik’ pada 2008.

Mengulas mengenai gambaran Pilihan Raya Umum Ke-13 yang mungkin tidak akan diadakan pada tahun depan, Ahmad Zahid secara peribadi berkata, penentuan tarikh pilihan raya adalah hak mutlak Perdana Menteri.

“Sama ada tahun ini atau tahun depan, bagi saya, pemimpin dan ahli-ahli akan patuh," katanya.

Beliau menyifatkan gambaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pilihan raya tidak akan diadakan pada tahun depan tersebut dibuat berdasarkan analisis akar umbi.

“Tentunya analisis itu mengambil kira seandainya pilihan raya diadakan pada tahun depan, seolah-olah nampak BN tidak berkeyakinan mendapat sokongan.

“Mungkin juga melihat faktor-faktor kelemahan ekonomi dunia yang diunjur pada 2013 dan keletihan jentera-jentera BN," ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment