My Add

Wednesday 18 July 2012

SPR terima 205,757 permohonan pemilih bagi suku 2/2012

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Julai, 2012: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menerima sebanyak 205,757 permohonan pendaftaran sebagai pemilih dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun 2/2012 dari April hingga Jun 2012. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 154,016 permohonan terdiri daripada pendaftaran pemilih baharu manakala 51,741 merupakan permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih berdaftar.

Menurut kenyataan SPR di sini hari ini, Rang Daftar Pemilih Tambahan (Rang DPT) bagi suku tahun 2/2012 akan dipamerkan di 950 tempat seluruh negara selama 14 hari bermula esok. 

Tempat pameran itu terdiri daripada 15 pejabat pilihan raya negeri, 453 pejabat pos berkomputer, 86 kompleks/pejabat kerajaan, 123 pejabat daerah/pejabat tanah, 48 majlis daerah/perbandaran, 190 dewan serbaguna/rukun tetangga/balai raya dan 35 tempat lain yang terbabit. 

Menurut kenyataan itu, pemohon sebagai pemilih baharu atau menukar alamat pusat mengundi pada April, Mei dan Jun 2012 dinasihatkan menyemak Rang DPT suku tahun 2/2012 sepanjang tempoh pameran berlangsung. 

"Pemohon pendaftaran baharu yang mendapati namanya tidak tersenarai di dalam Rang DPT boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan berkenaan pada hari bekerja waktu pejabat. 

"Pemilih berdaftar di mana-mana bahagian pilihan raya yang ingin membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu di dalam Rang DPT pula boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C dan seorang pembantah boleh membantah atau tidak lebih daripada 20 orang," kata kenyataan itu. 

Bantahan itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja waktu pejabat dalam tempoh pameran Rang Daftar Pemilih suku tahun 1/2012. 

Pada pameran itu juga SPR akan mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih sekiranya mereka didapati telah meninggal dunia, dilucut hak warganegara dan bersara daripada Angkatan Tentera/Polis. 

Orang ramai boleh menghubungi Ibu pejabat SPR di talian 03-88856565, menghubungi mana-mana pejabat pilihan raya negeri, faks ke 03-88889117 atau melayari laman sesawang SPR di alamat www.spr.gov.my untuk sebarang maklumat lanjut mengenai pameran Rang DPT suku tahun 2/2012. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment