My Add

Tuesday 17 July 2012

Suami isteri, adik disyaki edar heroin ditahan

KAJANG, SELASA, 17 Julai, 2012: Sepasang suami isteri adalah antara tiga yang ditahan dalam serbuan di sebuah unit Pangsapuri Bandar Damai Perdana di sini Jumaat lalu kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah jenis heroin. 

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab, berkata pasangan yang berusia 30 dan 28 tahun serta adik lelaki si suami yang berumur 16 tahun itu ditahan dalam serbuan di unit itu pada jam 12.15 tengah malam.

"Polis turut merampas 100 paket plastik yang setiap satunya mengandungi satu gram heroin. Setiap paket dijual pada harga RM80 untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mereka terbabit dalam pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu. 

Katanya, pemeriksaan terhadap si suami juga mendapati dia positif dadah jenis heroin dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah. 

"Mereka kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya. 

Sementara itu, dua lelaki berumur lingkungan 20-an yang dipercayai penagih dadah, ditahan di sebuah kawasan perkuburan Cina, Jalan Kuari Sabtu lalu. 
Ab Rashid berkata, polis turut merampas 11 paket heroin seberat 21.5 gram yang bernilai RM 1,000. 

"Kami tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kaitan dengan pasangan suami isteri itu dalam pengedaran dadah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment