My Add

Friday 13 July 2012

Wujudkan gelombang baru penggunaan Bahasa Melayu:

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 Julai, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu supaya satu gelombang baru penggunaan bahasa Melayu dapat diwujudkan dalam tempoh terdekat. 

Beliau berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), satu-satunya badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk melaksanakan dasar berkaitan bahasa kebangsaan, perlu menjadi badan pemegang amanah atau penjaga perbendaharaan ilmu dan persuratan Melayu di negara ini. 

Katanya, selain perlu berperanan sebagai pusat rujukan sehenti oleh penyelidik dalam dan luar negara tentang ilmu dan persuratan Melayu, DBP juga perlu meningkatkan kerjasama strategik dan sinergi dengan pusat-pusat penyelidikan dan universiti di dalam dan di luar negara. 

"Usaha-usaha penyelidikan dan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu perlu dilipatgandakan lagi. Penubuhan Pusat Persuratan Melayu Malaysia yang dicadangkan di bangunan lama DBP boleh dijadikan gerak awal untuk memulakan usaha ini," katanya ketika melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015 di sini, hari ini. 

Muhyiddin berkata, kedudukan dan peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada peringkat negara semata-mata, sebaliknya perlu diangkat menjadi bahasa serantau dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia. 

Katanya, DBP perlu memanfaatkan prasarana dan mekanisme sedia ada terutama yang mebabitkan hubungan dan kerjasama antara negara seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dalam usaha untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia. 

Katanya, pelancaran Pelan Strategik DBP selama lima tahun itu, boleh dijadikan landasan untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai teras jati diri rakyat dalam persediaan negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. 

Beliau berkata, dalam pelan tersebut, satu inisiatif baru yang berimpak tinggi ialah program Audit Bahasa, program yang bukan bertujuan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya langkah kerajaan untuk membantu meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam. 

"Audit Bahasa yang akan dimulakan pada tahun hadapan memberikan tumpuan awal terhadap enam sektor di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh beliau, iaitu perkhidmatan awam, tempat awam, penyiaran dan komunikasi, kewangan dan perbankan, perdagangan dan pendidikan," katanya. 

Muhyiddin berkata, Audit Bahasa dalam sektor lain akan dilaksanakan dalam fasa kedua program itu. 

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan. 

"Jabatan Perkhidmatan Awam sudah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan beberapa bahagian terpilih di JPA untuk diaudit bahasa pada Disember ini. 

"Kementerian Pengajian Tinggi juga sudah meletakkan sasaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di IPT, manakala Kementerian Kewangan telah mengarahkan bank dan (syarikat) insurans untuk menggunakan bahasa kebangsaan. 

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengadakan seminar untuk kumpulan peniaga dan usahawan. Saya yakin, jika usaha sebegini dapat dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh membabitkan semua kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta, bahasa Melayu tidak akan terpinggir di buminya sendiri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment