My Add

Monday 3 September 2012

APEC: SOM bincang empat ruang kerja utama

Gamal Nasir Mohd. Ali
VLADIVOSTOK, Rusia, SELASA, 02 September, 2012: Sidang Kemuncak Kerjasama Asia Pasifik (APEC), yang bermula hari ini apabila Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) berlangsung, akan membincangkan empat ruang kerja utama.

Menurut pegawai-pegawai, mesyuarat dua hari itu akan menyentuh aspek liberalisasi perdagangan serta pelaburan, termasuk matlamat ke arah penyatuan ekonomi serantau.

Ia juga akan membincangkan aspek pengukuhan keselamatan makanan, pewujudan rantaian pembekalan yang boleh dipercayai dan kerjasama bagi menggalakkan pertumbuhan inovasi.

"Semua perbincangan tersebut akan dibuat di bawah tema "Integrasi demi pertumbuhan, inovasi untuk kemakmuran," kata mereka di sini hari ini.

APEC yang ditubuh pada 1989 dianggotai 21 ekonomi dengan penduduk berjumlah lebih 2.7 bilion, yang mewakili kira-kira 54 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 44 peratus perdagangan antarabangsa.

Permulaan mesyuarat SOM itu akan diikuti dengan Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) pada 4-6 September dan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC pada 5-6 September ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dijadual menghadiri mesyuarat peringkat menteri sejurus selepas tiba di bandar pelabuhan ini pada 4 September.

Sidang Kemuncak APEC atau kini lebih dikenali sebagai Minggu Ketua-Ketua APEC akan disusuli dengan mesyuarat ketua-ketua ekonomi di rantau Asia Pasifik pada 8-9 September.

Perdana Menteri yang dijadualkan tiba di sini pada 7 September, akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut, yang diadakan di Pulau Russky dekat sini.

Selain sidang kemuncak ketua-ketua ekonomi, Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) turut diadakan bagi mencerminkan peningkatan peranan sektor swasta dalam menjayakan kerjasama ekonomi Asia Pasific itu.

Sidang kemuncak CEO tersebut merupakan susulan kepada mesyuarat ABAC, sebagai mana sidang kemuncak ketua-ketua ekonomi APEC kepada mesyuarat peringkat menteri.

Sidang kemuncak tahun ini diadakan di Pulau Russky berhampiran Vladivostok, sebuah bandar pelabuhan yang terletak di hujung Semenanjung Muravyov-Amujrsky.

Mesyuarat tahunan ini menggunakan sebuah kampus yang baru dibina untuk Far Eastern Federal University (Universiti Persekutuan Timur Jauh), yang ditubuh pada Oktober 1899, sebagai lokasi usaha mencapai pertumbuhan mapan di Asia Pasifik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment