My Add

Sunday 16 September 2012

Autonomi, perjanjian kemerdekaan Sarawak tak perlu dipersoal

SIBU, AHAD, 16 September, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak tidak lagi mempersoalkan isu-isu seperti kuasa autonomi Sarawak dan perjanjian sewaktu penubuhan Malaysia.

Perdana Menteri berkata, ia memandangkan Kerajaan Pusat dan negeri mempunyai persefahaman yang jitu dalam membangunkan negeri ini sehingga mampu melakar pelbagai kejayaan seperti menarik pelaburan bernilai RM30 bilion di wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Jelasnya, Kerajaan Pusat juga memenuhi hasrat negeri ini supaya SCORE diberi keutamaan sehingga bekalan elektrik yang dijana Empangan Hidro Elektrik Bakun dikhaskan kepada wilayah pembangunan itu dan rakyat negeri ini walaupun perancangan awalnya dibekalkan ke Semenanjung.

“Apabila kerajaan negeri Sarawak kata mesti beri keutamaan kepada pembangunan SCORE dan Sarawak, saya bersetuju serta-merta bahawa itu mesti diterima dan dihormati oleh kita.

“Sebab itu tidak perlulah kita persoalkan soal autonomi, soal Sarawak merdeka mengikut perjanjian kerana kita sudah ada persefahaman yang amat jitu.

“Jika tidak, tidak mungkin Sarawak boleh berjaya, tidak mungkin boleh tarik pelaburan RM30 bilion, tidak mungkin lancar Universiti Kolej Teknologi Sarawak dan pelbagai lagi yang kita telah dan akan laksanakan," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri di pekarangan Masjid An-Nur di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment