My Add

Sunday 16 September 2012

Lapangan Terbang Sibu dinaik taraf hadiah Hari Malaysia: PM

SIBU, AHAD, 16 September, 2012: Lapangan Terbang Sibu yang dinaik taraf dengan kos RM136.9 juta dan kini siap sepenuhnya, adalah hadiah istimewa Hari Malaysia kepada rakyat Sarawak, khasnya di Sibu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kejayaan Kementerian Pengangkutan melaksanakan pembesaran lapangan terbang tersebut dalam masa dan bajet yang ditetapkan, membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji selama ini berbanding dengan janji kosong pihak pembangkang.

"Menyedari hakikat untuk meningkatkan ekonomi Sarawak dan bagi menentukan peluang terbabit dapat dipenuhi, Lapangan Terbang Sibu akan menjadi pintu masuk ke Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score)," katanya ketika berucap pada majlis perasmian terminal baru lapangan terbang itu di sini hari ini.

Antara kemudahan yang dinaik taraf adalah pembesaran bangunan terminal daripada 8,040 meter persegi kepada 15,240 meter persegi, pemasangan dua unit lagi jambatan udara dan penambahan empat ruang parkir yang membolehkan pemakiran serentak tujuh buah pesawat kod C.

Dari segi sektor pelancongan, Najib berkata, sejumlah 3.8 juta pelancong direkodkan melawat Sarawak, termasuk 38 peratus pelancong asing, setakat ini berbanding dua juta pelancong pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pada tahun lalu, Sarawak turut mencatatkan sebanyak RM7.2 bilion sebagai aliran masuk ke negeri ini, yang menyumbang 13.5 peratus kepada pendapatan domestik keseluruhannya, kata Perdana Menteri.

Terdahulu, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, projek yang disiapkan itu melambangkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghargai sensitiviti penduduk tempatan, sesuai dengan aspirasi rakyat di wilayah tengah Sarawak, terutamanya untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, dengan penaiktarafan itu, Lapangan Terbang Sibu berjaya meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang daripada 700,000 setahun kepada 1.8 juta setahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment