My Add

Monday 17 September 2012

Bahana taksub politik - PM

Oleh ZAAIN ZIN
BINTULU, AHAD, 16 September, 2012; Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, faktor tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat telah menyebabkan ada negeri di Malaysia tidak dapat mencapai kemajuan pesat berbanding negeri lain.

Perdana Menteri berkata, kepimpinan negeri yang tidak berapa maju itu lebih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

Berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia ke-49 di sini malam ini, beliau berkata, hubungan serta persefahaman yang baik dengan Kerajaan Pusat telah menjadi asas kepada Sabah dan Sarawak mencapai kemajuan yang membanggakan sejak kemerdekaan.

Kata beliau, persetujuan oleh pemimpin terdahulu di kedua-dua negeri itu untuk menyertai 11 negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu untuk menubuhkan Malaysia pada 16 September 1963 telah menjadi asas kepada kejayaan hari ini.

"Saya fikir tidak ada seorang pun rakyat di Sarawak dan Sabah hari ini yang akan mengatakan mereka telah membuat kesilapan besar menyertai Malaysia," kata Najib di hadapan ribuan rakyat di tapak lama Lapangan Terbang Bintulu di sini.

Najib berkata, sejak tercapainya kejayaan penubuhan Malaysia itu, rakyat dari ketiga-tiga wilayah negara ini telah saling berjuang untuk mempertahankan kedaulatannya.

"Ada rakyat kita dari Semenanjung Malaysia yang telah menitiskan darah mereka untuk mempertahankan Sabah dan Sarawak dan tidak kurang juga rakyat kita dari Sabah dan Sarawak yang terkorban demi mempertahankan Semenanjung Malaysia," katanya.

Menurutnya, pemimpin negara generasi di awal peringkat kemerdekaan telah berjaya menepati janji mereka untuk memastikan Malaysia akan terus kekal dan berdaulat, diikuti pemimpin di peringkat pengisian kemerdekaan yang telah menepati janji mereka supaya pembangunan berlaku di seluruh pelosok negara.

"Bagi pemimpin hari ini, janji kita adalah bahawa menjelang fajar 2020, bumi Malaysia ini akan dimartabatkan sebagai sebuah negara maju," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment