My Add

Thursday 27 September 2012

Bajet pembangkang kurang kredibiliti: Pemimpin kerajaan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 September, 2012: Belanjawan pakatan pembangkang yang dibentang hari ini disifatkan oleh pemimpin kerajaan sebagai kurang kredibiliti dan hanya untuk memancing undi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, berkata ia adalah satu lagi alat untuk menipu rakyat dengan janji manis yang akhirnya tidak ditunaikan. 

"Ia hanya untuk menipu rakyat untuk mengundi mereka dengan menabur pelbagai janji, tetapi tiada apa yang dilakukan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Belanjawan pakatan pembangkang yang dibentangkan ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu antara lain menggariskan beberapa langkah yang kononnya boleh membantu rakyat.

Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, berkata bajet pembangkang yang dibentangkan hari ini lebih kepada 'angan-angan Mat Jenin' seorang pemimpin yang ingin menakluk kerajaan dengan cara menipu rakyat.

"Sebagai orang yang amat mengenali Anwar, saya berpendapat ini bajet olok-olok ala Mat Jenin sebab kalau hendak gubal undang-undang perlukan statistik terperinci. Dia (Anwar) bukan pakar ekonomi tapi bercakap macam seorang pakar," katanya.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan menyifatkan belanjawan itu sebagai mustahil untuk dilaksanakan. 

"Ini bajet daripada seorang lelaki yang berjanji untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008 tetapi gagal. Begitu juga janji lain.

"Sebagai contoh, (dalam belanjawan pakatan pembangkang) mereka hendak buat lebuh raya antara Sabah dan Sarawak. Tengok di negeri-negeri mereka memerintah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, ada tak mereka buat lebuh raya?" katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung pula percaya apa yang dibuat oleh pembangkang tidak menunjukkan kredibiliti kerana ia dirangka secara tidak profesional dan akan meruntuhkan ekonomi jika dilaksanakan.

Mengulas cadangan belanjawan pembangkang untuk membatalkan 1Malaysia Development Berhad, Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata ini akan menggagalkan usaha kerajaan untuk membantu golongan Bumiputera.

"1MDB mempunyai fungsi yang pelbagai dan ia turut membabitkan aspek kebajikan, membanteras kemiskinan dan mengubah cara hidup rakyat," katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment