My Add

Thursday 20 September 2012

Banduan diburu polis minta penduduk air, gergaji untuk potong gari

KUANTAN, KHAMIS, 20 September, 2012:: "Dia ketuk pintu belakang rumah saya bertalu-talu dan minta diberi segelas air serta dibukakan gari," kata seorang pekerja swasta yang berhadapan dengan banduan yang melarikan diri selepas kereta polis yang dinaiki terlibat dalam kemalangan.


Lukman Hakim Mohd Ismail, 21, berkata banduan yang dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan itu mengetuk pintu rumahnya di Perumahan Taman Dato Rashid di sini, kira-kira jam 10 malam ketika beliau dan isteri sedang tidur.

"Bila saya buka pintu, saya lihat seorang lelaki dengan tangan bergari berdiri di depan saya," katanya yang tidak menyangka akan berdepan dengan banduan yang ketika itu sedang diburu polis.

Beliau berkata, selepas diberi segelas air, banduan itu bertanya sama ada beliau mempunyai gergaji besi untuk memotong gari di tangannya, sebelum beredar apabila beliau mengatakan gergaji besi tidak boleh memotong gari.

Lukman Hakim yang ditemui di sini hari ini, berkata beliau pada mulanya menyangka banduan itu mahu meminta bantuan jiran untuk meminjam gergaji besi tetapi sebaliknya lelaki itu bertindak meniarap di bawah rimbunan pokok kadok berdekatan rumahnya.

"Saya kemudian memaklumkan kepada beberapa anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan taman ini dan mereka (polis) berjaya memberkasnya," katanya.

Dalam kejadian pada jam 11.45 pagi Selasa, tiga anggota polis parah selepas kereta polis yang membawa banduan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Berang hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan dekat Taman Dato Rashid di sini.

Selepas kemalangan, banduan yang akan dihantar ke Penjara Penor itu melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan dia berjaya ditahan semula pada jam 10.25 malam Selasa ketika meminta minuman dari penduduk Taman Dato Rashid. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment