My Add

Tuesday 18 September 2012

Bayi dipercayai dicampak hidup-hidup?

PETALING JAYA, ISNIN, 17 September, 2012: Bayi perempuan yang ditemui mati di pekarangan laluan masuk Pangsapuri Desa Mentari di sini semalam dipercayai masih bernyawa sebelum dicampak dari tingkat tiga kawasan perumahan itu.

Malah, hasil pemeriksaan dijalankan Unit Forensik polis di tempat kejadian mendapati bayi malang itu meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah tidak mahu mengesahkan perkara tersebut namun tidak menolak kemungkinan kecederaan di kepala menjadi faktor utama kematian bayi itu.

"Bayi itu mati disebabkan cedera di kepala dan kemungkinan kecederaan itu berlaku akibat dicampak dari tempat tinggi.

"Sama ada bayi itu masih hidup atau sudah meninggal dunia sebelum dicampak, kita perlu menunggu laporan penuh bedah siasat ke atasnya," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia hari ini.

Semalam, penduduk pangsapuri di Jalan Klang Lama di sini itu gempar selepas menemui mayat seorang bayi perempuan di laluan pejalan kaki dipercayai dicampak dari sebuah rumah yang terletak di tingkat tiga.

Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui penduduk dalam keadaan menyedihkan dengan kesan cedera di kepala kira-kira pukul 11 pagi.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pekerja kilang wanita yang dipercayai terlibat dalam perbuatan kejam tersebut.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan polis menahan reman suspek wanita terbabit yang berusia 20 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret Suraya Syawal membenarkan suspek yang merupakan wanita tempatan dan bekerja kilang ditahan selama tujuh hari bermula hari ini.

Suspek yang memakai baju T hitam dan jaket merah jambu, berkain batik serta bertudung tiba di mahkamah diiringi dua pegawai polis wanita kira-kira pukul 11.30 pagi.

Difahamkan bayi itu hasil hubungan luar nikah dengan teman lelakinya dan dia dipercayai dilahirkan ketika ahli keluarganya tiada di rumah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment