My Add

Tuesday 18 September 2012

Bomoh palsu amal nikah batin untuk ubati pesakit ditangkap
*LELAKI yang mengamalkan nikah batin ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) selepas cuba melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu, Seremban semalam.


SEREMBAN 17 Sept. - Selama ini pengamal perubatan ini menggunakan pelbagai helah untuk melakukan seks kononnya untuk menjalani rawatan perubatan pesakit wanitanya.

Namun, kegiatan gilanya itu akhirnya terbongkar apabila dia ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu di sini hari ini.
Sebelum pengamal perubatan itu melakukan hubungan seks dengan pesakitnya, dia yang berusia 48 tahun turut melakukan upacara nikah batin dengan wanita berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Husaini Mustafa berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan ketika merawat seorang wanita berusia 23 tahun.

Katanya, ketika ditahan lelaki berkenaan hanya berseluar dalam manakala wanita terbabit masih berpakaian lengkap.

"Serbuan ini dilakukan selepas pihak JHEAINS menerima aduan daripada orang ramai dan risikan kita selama seminggu.

"Lelaki terbabit ditahan kerana disyaki mengamal nikah batin sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya dengan alasan untuk merawat wanita berkenaan," katanya di sini hari ini.

Menurut Husaini, lelaki yang menetap di Kuala Lumpur datang ke rumah pesakit untuk merawat seorang wanita yang mengalami masalah kesihatan.

"Kita dapati lelaki ini menggunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk memperdaya mangsa melakukan hubungan seks dengannya dengan alasan salah satu cara untuk mengubati penyakit.

"Sebelum melakukan hubungan seks lelaki ini akan melakukan upacara nikah batin dengan bayaran mas kahwin RM200 dengan alasan bagi menghalalkan hubungan tersebut," jelasnya.

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas beberapa naskhah kitab perubatan termasuk satu kitab suci al-Quran yang digunakan lelaki berkenaan ketika upacara nikah batin.

"Kita percaya lelaki ini sudah aktif di beberapa negeri sejak beberapa bulan yang lalu namun, tiada mangsa yang tampil membuat aduan," katanya.

Husaini memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana mencela agama Islam, Seksyen 50 kerana menggunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan Seksyen 77 kerana memikat dan melarikan wanita untuk tujuan seks.

Bagi setiap seksyen lelaki berkenaan boleh dikenakan denda RM5,000 dan tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, lelaki itu yang bekerja sendiri dan sudah berkeluarga ditahan untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini esok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment