My Add

Monday 17 September 2012

Bekerjasama dengan Indonesia - Abdullah Ahmad Badawi

KEPALA BATAS, AHAD, 16 September, 2012: Kerajaan disaran bekerjasama dengan Indonesia bagi menyuarakan bantahan berhubung penerbitan filem anti-Islam, Innocence of Muslims yang mengundang kecaman keras umat Islam di seluruh dunia.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, filem yang menghina Nabi Muhammad SAW itu tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat di negara ini yang berpegang kuat kepada prinsip saling menghormati antara agama.

"Kerajaan perlu mengumumkan langkah yang diambil oleh negara kita bagi membantah filem berkenaan dan perlu memastikan ia tidak dibawa masuk atau ditonton menerusi Internet di negara ini.

"Kita juga boleh bekerjasama dengan negara Islam lain seperti Indonesia untuk menyekat filem ini," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim.

Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab pihak yang menghasilkan filem berkenaan memberi kesan kepada umat Islam di seluruh dunia dan menimbulkan perasaan gelisah.

"Oleh itu, kita perlu mengambil langkah yang tepat berhubung perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, setiap ahli UMNO perlu menjalin kerjasama erat dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam usaha memastikan kawasan Parlimen itu kekal dimenangi BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Kerjasama erat sesama kita amat penting bagi menghadapi cabaran yang semakin kuat. Sebelum ini kita telah buktikan, UMNO dan BN masih utuh walaupun diasak hebat pembangkang dan kerjasama itulah yang perlu kita kukuhkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment