My Add

Tuesday 11 September 2012

ECER sasar lebih banyak pelaburan China

KUALA LUMPUR, ISNIN, 10 September, 2012: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang sedang giat mempromosikan peluang pelaburan di wilayah tersebut menyasar lebih banyak pelaburan dari China melalui penyertaannya dalam Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) 2012 yang diadakan di sini.

ECER berhasrat mengukuhkan lagi penjenamaan serta jalinan hubungan perniagaan dengan para pelabur dari China dan seterusnya menarik mereka melabur di wilayah tersebut.

MCEC 2012 merupakan platform yang sesuai bagi mempromosikan ECER dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John dalam satu kenyataan di sini.

Selain MCKIP, projek utama lain di ECER yang sedang dipromosikan termasuklah Taman Halal Gambang, Kelompok Industri Minyak Sawit dan Taman Biopolimer Kertih, katanya.

"Kami akan memanfaatkan kedudukan ECER yang strategik sebagai gerbang pelaburan yang ideal bagi pasaran rantau ASEAN dan Asia Pasifik, yang mempunyai penduduk seramai empat bilion orang dan keluaran dalam negara kasar AS$17 trilion (RM220.9 trilion).

"Di samping itu, ini merupakan peluang baik bagi ECERDC untuk meningkatkan lagi kesedaran di kalangan pelabur China mengenai peluang pelaburan yang terdapat di wilayah ini," kata Jebasingam.

ECERDC ialah badan berkanun yang ditubuhkan untuk meneraju dan memacu inisiatif strategik dalam ECER.

ECER merangkumi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor dengan jumlah pelaburan yang dijanji sebanyak RM32.7 bilion antara tempoh 2007 dan Jun 2012. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment