My Add

Tuesday 18 September 2012

ECER tarik pelabur China

KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 September, 2012: Satu delegasi peringkat tertinggi Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) akan berada di Ekspo China-ASEAN kesembilan di Nanning, China bagi menarik pelabur berpotensi, terutama sekali dari China untuk melabur di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Dengan mengenal pasti potensi pameran itu yang mampu menarik bilangan pelawat dan jumlah perdagangan yang ramai sejak pengenalannya pada 2004, ECERDC akan mewujudkan astaka sendiri bagi mempromosikan MCKIP.

Ekspo yang bermatlamat mempromosikan pelbagai industri di Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dan berkongsi peluang kerjasama dan pembangunan, akan diadakan dari 21 hingga 25 September di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Nanning di Nanning, iaitu ibu wilayah Autonomi Guangxi Zhuang.

Para pemimpin ASEAN, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Myanmar U Thein Sein dilapor akan menghadiri pameran perdagangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, yang mengetuai delegasi 10 anggota dari ECER ke pameran perdagangan itu, dilaporkan berkata, antara insentif yang ditawarkan kepada para pelabur ialah pengecualian cukai sehingga 10 tahun dan harga tanah yang kompetitif oleh kerajaan negeri.

"Secara keseluruhannya, kami mahu para pelabur melakukan perniagaan berkesan kos pada peringkat awal," katanya yang dipetik dalam laporan media.

MCKIP adalah inisiatif kerajaan dengan kerajaan, yang diumumkan sebagai timbal balas kepada penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 April tahun ini.

MCKIP mempunyai keluasan 607 hektar di dalam kawasan ECER di Gebeng, Kuantan.

Industri yang disasarkan bagi taman perindustrian itu termasuk peralatan bagi plastik dan logam, komponen automotif, papan serat simen, produk keluli tidak berkarat, pemprosesan makanan, serat karbon, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan produk pengguna.

MCKIP menyandarkan pada lokasi strategik Kuantan kerana ia mempunyai pelabuhan yang menghadap Laut China Selatan - yang merupakan hubungan paling langsung dengan pelabuhan air dalam Qinzhou dan pelabuhan lain di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang.

ECER, yang dilancarkan pada 2007, meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Daerah Mersing di Johor.

Ia merupakan salah satu daripada koridor pembangunan wilayah bagi merangsang pembangunan ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment