My Add

Wednesday 19 September 2012

Empat lagi terlibat kes bom molotov kuarters kastam dikenal pasti

JOHOR BAHARU, RABU, 19 September, 2012:. Polis mengenal pasti empat lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian melontar bom molotov di kuarters pegawai kastam di Taman Pelangi dan Taman Sri Pulai Perdana, di sini minggu lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata empat individu itu yang berusia dalam lingkungan 30-an juga dipercayai dalang kegiatan penyeludupan di negeri ini.

"Butiran peribadi seperti umur, nama dan gambar suspek akan diedarkan dalam tempoh terdekat. Sekiranya mereka gagal untuk tampil bagi membantu siasatan, kita akan hebahkan melalui media," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Ismail berkata siasatan terhadap kejadian itu akan dibuat dari pelbagai sudut mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana mempunyai unsur khianat yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda.

Katanya seorang lelaki berusia 38 tahun yang ditahan di sekitar Gelang Patah di sini, pada pukul 4 pagi, 13 Sept lepas berhubung kes sama telah dibebaskan dengan jaminan polis.

kejadian pukul 4 pagi, di Jalan Biru, Taman Pelangi 12 Sept lepas, bahagian hadapan kuarters yang didiami dua pegawai kastam dan sebuah kereta milik seorang daripada mereka terbakar apabila dilempar bom molotov berkenaan.

Kejadian turut menyebabkan seorang daripada mereka iaitu Timbalan Pengarah Kastam Johor Ahmad Hassan, 54, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyelamatkan keretanya daripada turut terbakar dalam kejadian itu.

Kejadian serupa dilapor berlaku ke atas rumah seorang lagi pegawai kastam di Taman Pulai Perdana pada waktu yang sama dan dipercayai didalangi sekumpulan lelaki menaiki kereta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment