My Add

Saturday 22 September 2012

ETP berjaya tingkat daya saing
*NAJIB Tun Razak melihat Prospektus Astro Malaysia Holdings Berhad pada majlis pelancaran prospektus itu di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Dr. Rais Yatim (dua, kiri) dan Zaki Azmi (dua, kanan). - BERNAMA
Oleh SARAH NADLIN ROHIM
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 21 September, 2012: Pelaksanaan Program Transformsi Ekonomi (ETP) telah berjaya meningkatkan daya saing negara, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komitmen dan profesionalisme syarikat-syarikat telah membuka laluan kepada ekonomi negara untuk terus berkembang dengan kerajaan mengambil langkah iaitu dengan meliberalisasikan sektor perkhidmatan, melabur dalam industri utama dan menggalakkan pertumbuhan pantas dalam kewangan.

"Pada masa pelabur dan perniagaan bimbang terhadap ketidaktentuan, kita telah mengurangkan risiko politik dengan mentadbir secara telus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran prospektus Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro Malaysia) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Pengerusi Astro Malaysia, Tun Zaki Tun Azmi; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar; Timbalan Pengerusi Eksekutif Astro Malaysia, Ralph Marshall dan Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia, Datuk Rohana Rozhan.

Tambah Najib, semua kejayaan itu dicapai tanpa perlu mengorbankan keperluan orang ramai tetapi dicapai bersama-sama mereka.

"Ini merupakan pendekatan kita bukan sahaja terhadap ekonomi tetapi kepada masyarakat keseluruhannya, menyepadukan komuniti dan orang ramai dalam usaha membina masa depan lebih baik kepada semua," jelasnya.

Menyentuh mengenai pelancaran prospektus Astro Malaysia, Najib berkata, penyenaraiannya merupakan antara yang terbesar pada tahun ini.

"Ini mengesahkan lagi reputasi Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan yang cerah iaitu tempat selamat untuk modal dengan perniagaan dan pasaran saham yang meningkat walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan global.

"Minat kekal para pelabur terhadap syarikat-syarikat tempatan menunjukkan peluang besar yang terdapat di Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata, ia tidak berlaku dengan sendiri sebaliknya disebabkan komitmen, dedikasi dan kerja keras oleh mereka yang membina perniagaan berdaya saing global. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment