My Add

Wednesday 5 September 2012

FGVH setuju bangunkan bandar baru FELDA di Pengerang

KUALA LUMPUR, SELASA,04 September, 2012:: FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGVH) bersetuju untuk membangunkan kira-kira 800 hektar tanah miliknya di Pengerang, Johor sebagai sebuah bandar baru FELDA bagi mengambil peluang daripada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di kawasan itu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, perkara itu turut dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat pengurusan FELDA baru-baru ini.

"Kita akan mula berbincang dengan pihak-pihak lain bagaimana kita boleh melibatkan diri dalam pembangunan di kawasan itu kerana kita punyai tanah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara FELDA dan KFC Holdings (Malaysia) Bhd di sini, hari ini.

Cadangan membangunkan bandar baru FELDA itu disuarakan Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Azalina Othman Said pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian, Ahad lepas di mana pada hari yang sama beliau turut mencadangkan agar warga tempatan turut dibabitkan sama dalam projek Rapid dan diberikan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan.

Dalam hal ini, Mohd Isa berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak Petronas untuk menggunakan sepenuhnya sebuah institut kemahiran di kawasan itu bagi menawarkan kursus-kursus baru berkaitan projek berkenaan kepada warga setempat.

Projek Rapid yang dibangunkan oleh Petronas adalah antara projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi melonjakkan lagi sektor minyak dan gas negara dan dijangka menarik pelaburan susulan bernilai RM100 bilion dalam industri sama.

Mengenai perjanjian persefahaman antara FELDA dan KFC Holdings, Mohd Isa berkata, kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua pihak bergabung di bawah satu syarikat usahasama bagi mengusahakan ladang penternakan ayam daging moden yang akan dibangunkan di ladang FELDA Tenggaroh 3, Johor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment