My Add

Thursday 6 September 2012

Hamzah pastikan asas negara kukuh - PM

*NAHIB Tun Razak dan Muhyiddin Yassin menunaikan solat jenazah yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad pada majlis pengebumian Hamzah Abu 
Samah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, RABU, 05 September, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah sebagai tokoh yang amat penting dalam perjalanan politik dan sukan tanah air serta banyak memberikan sumbangan kepada negara.

Perdana Menteri berkata, sebagai ahli politik, Hamzah telah bersama para pemimpin negara terdahulu termasuk bapa beliau, Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein dalam mengisi nilai dan membentuk negara ini selepas kemerdekaan.

Dalam bidang sukan pula, kata beliau, Hamzah telah membantu negara mencapai beberapa kejayaan khususnya sewaktu menjadi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).

Sehubungan itu, tambah Najib, sumbangan beliau sudah pasti dikenang para peminat sukan dan masyarakat secara keseluruhan.

"Allahyarham telah bersama pemimpin lain berjuang memastikan asas tapak negara kita dapat dibina dengan kukuh.

"Sudah tentu dalam konteks sumbangan, beliau akan dibariskan bersama tokoh-tokoh lain atas jasa dan sumbangan besar beliau kepada bangsa, agama dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengebumian Hamzah di Makam Pahlawan Masjid Negara di sini hari ini.

Hamzah, 88, yang merupakan bekas menteri Kabinet dan tokoh sukan tanah air meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan pada pukul 3.30 petang semalam.

Allahyarham meninggalkan isteri, Toh Puan Zainon Hussain, 74, dan tujuh anak iaitu Mohd. Azlan, 55; Zulkifli, 54; Mohd. Azman, 52; Mohd. Izham, 50; Mohd. Shahril, 45; Salina, 44, dan Suria, 34. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment