My Add

Tuesday 18 September 2012

Imigresen Selangor tahan 164 rakyat asing di Klang

SHAH ALAM, SELASA, 18 September, 2012:: Jabatan Imigresen Selangor menahan 164 rakyat asing termasuk 47 wanita dalam Ops 6P atas pelbagai kesalahan dalam operasi di sekitar stesen bas lama Klang di sini, semalam.

Ketua Unit Penguatkuasaan Imigresen Selangor, Othman Montil, berkata kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 48 tahun dan kebanyakannya tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahguna pas lawatan sosial mereka. 

Operasi empat jam bermula 5 petang itu membabitkan 57 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Selangor, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India, Nepal, Pakistan dan Kemboja.

Othman berkata, kebanyakan rakyat asing yang ditahan itu bekerja di kedai makan dan di kiosk menjual kad telefon serta kad tambah nilai.

"Selain seorang wanita Indonesia yang dikesan bekerja sebagai pelacur, kebanyakan warga asing ini digaji oleh majikan warga tempatan untuk bekerja di premis perniagaan mereka.

"Setakat ini tiada majikan yang ditahan tetapi kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu kerana warga asing ini tidak mempunyai permit kerja yang sah," katanya. 

Kesemua mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih dan KLIA untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment