My Add

Thursday 27 September 2012

JAIJ kesan 300 orang berfahaman syiah di Johor Bahru

NUSAJAYA, KHAMIS, 27 September, 2012: Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) mengesan 300 orang daripada 60 keluarga di bandar raya ini berfahaman dan mengamalkan ajaran syiah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman berkata pemantauan berterusan JAIJ mendapati kesemua mereka berada di tiga markas iaitu di Kampung Sungai Tiram, Larkin Perdana dan Taman Daya, di sini.

"JAIJ menerima aduan daripada orang ramai berhubung penglibatan segelintir umat Islam ini. Siasatan mendapati mereka mengamalkan ajaran syiah beraliran Jaafariyah Isna A'shar yang berasal dari Karbala, Iran," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BN-Jorak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata kerajaan Johor mengeluarkan fatwa pada 9 Jan lepas dan mewartakannya pada 16 Feb lepas, melarang mana-mana umat Islam di negeri ini berpegang kepada ajaran dan fahaman tersebut kerana boleh mengancam ummah, keutuhan agama serta perpaduan bangsa.

Beliau berkata larangan itu merangkumi aspek mengajar, menerbitkan apa-apa terjemahan melalui media, menjadi anggota atau pemimpin syiah serta membantu mengembangkan ajaran tersebut.

Secara umum, katanya masyarakat Islam di negeri ini berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kecuali segelintir yang terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut yang dibawa pihak tertentu.

Beliau berkata tindakan telah diambil bagi membendung penyebaran ajaran tersebut termasuk mengadakan seminar, siri penjelasan tentang syiah di setiap daerah dan perbincangan khusus dengan pengikut ajaran itu.

Katanya tindakan itu dilakukan selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Enakmen Sekatan Menyebarkan Agama Bukan Islam 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Menjawab soalan tambahan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong), Zainal Abidin berkata fahaman syiah yang diamalkan mereka itu diputuskan sebagai sesat kerana melakukan pelbagai perkara termasuk menghina isteri Nabi Muhammad, menyiksa tubuh badan sempena 10 Muharam, mengharuskan sembahyang jamak dalam semua keadaan dan mengkafirkan sahabat Rasulullah.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment