My Add

Tuesday 18 September 2012

Jangan bangkit emosi kenegerian untuk raih kuasa

KUALA LUMPUR, SELASA, 18 September, 2012: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pembangkang supaya tidak membangkitkan emosi kenegerian dalam kalangan rakyat dalam usaha meraih kuasa.

Beliau berkata tindakan itu berbahaya dan boleh mengakibatkan perbalahan yang mengundang kepada perpecahan seperti yang berlaku di beberapa negara luar.

"Saya tahu pembangkang mengidamkan kuasa tapi dalam mengidamkan kuasa, mereka mainkan perasaan kenegerian manusia. Ia adalah berbahaya.

"Kita sudah bina negara 55 tahun dalam keadaan kemajuan yang kita yakin semua rakyat Malaysia telah bersatu padu.

"Jangan hanya kerana kerakusan hendak merebut kuasa, kita mempermainkan emosi manusia yang boleh mengakibatkan perbalahan yang takkan ada batasan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Felcra dan Risda di sini hari ini.

Justeru, Mohd Shafie berkata tidak perlu kad pengenalan khas dikeluarkan kepada rakyat Sabah untuk membezakan warga negeri itu dengan penduduk lain di Malaysia seperti dicadangkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee.

"Kenapa kita perlu IC (kad pengenalan) berasingan untuk Sabah. Kita sudahpun menjadi sebuah negara," katanya.

Beliau berkata perkara seperti itu tidak patut dibangkitkan memandangkan penyatuan Sabah, Sarawak dan Semenanjung dipersetujui sejak dahulu lagi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment