My Add

Tuesday 18 September 2012

SKMM pantau kandungan penyiaran di Internet

KUANTAN, SELASA, 18 September, 2012: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau dan menapis kandungan klip video yang disiarkan di internet, persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata dengan mengambil isu penyiaran klip video yang menghina Nabi Muhammad s.a.w di internet baru-baru ini sebagai contoh, semua pihak juga perlu tampil membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang klip video yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama disiarkan di internet.

"Perkara ini sentiasa dipantau SKMM melalui "Task Force" yang mereka tubuhkan. Penyiaran klip video seperti ini, tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi jika ia boleh menganggu keharmonian hubungan antara kaum dan agama.

"Orang ramai perlu memainkan peranan dan membuat laporan segera kepada pihak SKMM atau mana-mana pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang penyiaran bahan seperti itu," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Shahaniza Shamsuddin (BN-Kuala Sentul) yang mahu tahu apakah tindakan kerajaan bagi menghalang penyiaran klip video yang berjudul "Innocence of Muslims", di YouTube baru-baru ini terhadap pengguna internet di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment