My Add

Saturday 8 September 2012

Jenazah Adzreen dikebumikan

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
PUTRAJAYA, JUMAAT, 07 September, 2012: Jenazah penuntut Malaysia, Adzreen Dimyati, 22, yang terbunuh dalam kemalangan dua buah bas di Rusia, Isnin lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20 di sini malam tadi.

Jenazah Adzreen yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 9.45 malam tadi terpaksa melalui proses pengecaman terlebih dahulu oleh ahli keluarganya.

Setelah selesai, jenazah terus dibawa dengan van ke Surau al-Iman di Presint 9 di sini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 pada kira-kira pukul 1.40 pagi.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi Isnin lalu (11 malam Ahad waktu Rusia), Adzreen bersama-sama enam rakan lain, semuanya penuntut Malaysia dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Moscow ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod.

Bagaimanapun, bas dinaiki itu terbabit dengan kemalangan di wilayah Vladimirskaya, kira-kira 120 kilometer dari wilayah Nizhny, berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan kerana dikatakan terlelap.

Kejadian itu menyebabkan Adzreen, penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi mangsa, Hanisah Muhd. Shah, 22, pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) meninggal dunia di tempat kejadian.

Lima rakannya iaitu Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd. Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza, semuanya tajaan Mara mengalami kecederaan dan dilaporkan stabil. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment