My Add

Saturday 8 September 2012

'Kekecewaan saya terubat'

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 07 September, 2012: Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali kecewa apabila mendapat tahu Erra Fazira mengundur diri daripada berlakon sebagai diri beliau dalam Teater Tun Dr. Siti Hasmah.

Namun kekecewaan itu terubat selepas diberitahu tempat Erra Fazira selaku pelakon utama untuk teater arahan Erma Fatima itu akan digalas oleh Lisa Surihani (watak muda) dan Sofea Jane (masa kini).

"Memang saya kecewa sebab dari awal lagi saya sudah berkenalan dengan Erra Fazira dan yakin dia boleh membawa watak itu. Mungkin sebab perubahan waktu, dia tidak dapat memberi komitmen.

"Saya tengok pengganti Erra Fazira pun tidak kurang hebatnya. Saya yakin Lisa dan Sofea Jane dapat melakukan yang terbaik untuk menjayakan teater ini," katanya pada sidang akhbar teater tersebut di Istana Budaya di sini hari ini.

Turut hadir, Penaung Teater Tun Dr. Siti Hasmah, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin; Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Pengerusi World Islamic Network Television, Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Teater tersebut bakal dipentaskan pada 9 November hingga 19 November ini selepas tertunda dua kali.

Asalnya Teater Tun Dr. Siti Hasmah dijadual dipentaskan pada 30 Ogos lalu tetapi ditunda ke tarikh 14 September ini sebelum mendapat tarikh baru.

Dalam pada itu, pengarah Erma Fatima berkata, dia telah menghasilkan skrip baru tanpa merujuk skrip asal yang dihasilkan oleh Adlin Aman Ramlie yang kemudiannya menarik diri sebagai pengarah teater berkenaan.

Jelasnya, dia lebih senang menghasilkan skrip yang menggambarkan tentang kehidupan Dr. Siti Hasmah sebagai isteri, ibu dan peranannya sebagai doktor yang meredah kampung demi berkhidmat kepada orang ramai.

"Teater penghargaan kepada Dr. Siti Hasmah ini tidak ada cerita politik, kalau ada pun hanyalah tempias sahaja. Saya mahu tonjolkan cerita yang jarang kita ketahui tentangnya.

"Kalau cerita dia sebagai isteri Perdana Menteri, sudah banyak di dada akhbar. Apa yang saya nak cungkil adalah bagaimana perasaannya yang terpaksa 'berkongsi' suami dengan rakyat jelata," katanya yang mendapat sokongan daripada aktivis teater, Normah Nordin untuk penulisan skrip tersebut.

Erma Fatima yang mendapat pujian kerana arahan teater Natrah yang pernah dipentaskan di IB sebelum ini berkata, mengarah teater kisah Dr. Siti Hasmah bukan perkara mudah.

"Saya perlu mengambil kira semua faktor dari segi skrip, pelakon, set dan pementasan kerana teater ini bercerita tentang seorang wanita terkenal," katanya yang masih lagi mencari pelakon untuk watak Saleha iaitu kakak Hasmah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment