My Add

Saturday 1 September 2012

Jepun beri visa kemasukan pelbagai untuk rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, SABTU, 01 September, 2012: Berkuatkuasa hari ini, kerajaan Jepun mengeluarkan visa kemasukan pelbagai untuk rakyat Malaysia di negara ini yang ingin ke Jepun untuk melancong, melawat saudara mara dan tujuan lain.

Visa itu adalah sah untuk tempoh maksimum tiga tahun dengan tempoh penginapan bagi setiap kemasukan pada dasarnya dihadkan 15 hari sahaja.

Kedutaan Jepun, dalam kenyataan di sini menjelaskan bahawa tempoh penginapan untuk setiap kemasukan boleh dilanjutkan kepada 30 hari atau 90 hari bergantung kepada pertimbangan dan kelulusan oleh kedutaan, Konsul Jeneral dan pejabat konsul Jepun.

Kenyataan itu berkata pemohon perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan, termasuk bekerja dan mempunyai kedudukan kewangan yang baik.

Mereka yang pernah ke Jepun sebagai pelawat sementara dalam tempoh tiga tahun lepas juga boleh memohon visa itu.

Borang permohonan boleh didapati di kedutaan Jepun di Kuala Lumpur, pejabat Konsul Jeneral di Pulau Pinang serta pejabat konsul di Johor Baharu dan Kota Kinabalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment