My Add

Tuesday 4 September 2012

Jerebu di ibu negara masih di tahap sederhana

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 September, 2012: Keadaan jerebu di negara ini masih di tahap sederhana dengan Nilai, Negeri Sembilan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 93.

Selain itu, bacaan di 40 lokasi lain termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berada pada tahap sederhana iaitu di bawah 80 setakat 11 pagi ini, dengan Kuala Lumpur mencatat bacaan 76, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu, jurucakap bahagian udara jabatan itu berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan punca keadaan jerebu di ibu negara hari ini, namun keadaan itu dijangka tidak berpanjangan.

"Bagaimanapun keadaan itu bergantung kepada cuaca, kerana jika cuaca kering sepanjang minggu ini seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Meteoroloji Malaysia, jerebu mungkin boleh berlarutan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan keadaan panas dan kering di rantau ini akan berpanjangan sehingga Oktober ini.

Bulan lalu, jerebu turut melanda negara berikutan cuaca panas berterusan di rantau ini yang menyebabkan berlakunya kebakaran tempatan, termasuk kebakaran tanah gambut di Bestari Jaya, Selangor dan peningkatan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia yang mencatat lebih 400 titik panas.

Bagaimanapun keadaan berjerebu itu berkurangan menjelang Hari Raya Aidilfitri pada 19 Ogos lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment