My Add

Saturday 15 September 2012

K1M sedia kemudahan penjagaan kesihatan ibu dan anak

KUALA LUMPUR, SABTU, 1 September, 2012: Semua Klinik 1Malaysia (K1M) di seluruh negara bakal dilengkapi kemudahan penjagaan kesihatan ibu dan anak mulai awal tahun depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, ini merupakan inisiatif bagi menambah baik perkhidmatan sedia ada di K1M sebagai kemudahan yang lebih efisien kepada kaum ibu serta kanak-kanak.
"Perluasan perkhidmatan ini adalah kemudahan bagi ibu mengandung serta anak-anak di bawah jagaan mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan dengan lebih mudah terutamanya bagi ibu yang bekerja.

"Perkhidmatan ini akan beroperasi setiap hari, tujuh hari seminggu dari pukul 10 pagi hingga 10 malam ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan K1M Flat Danau Kota di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian K1M kesepuluh di kawasan Kuala Lumpur itu ialah Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr S. Balachandran.

Liow berkata, memandangkan kesemua (119) premis K1M yang sedia ada mempunyai ruang terhad, maka proses renovasi serta ubah suai perlu dijalankan sebelum memulakan kemudahan penjagaan kesihatan ibu dan anak.

Katanya, ini perlu bagi memastikan pesakit selesa semasa datang ke K1M bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan kerana kerajaan juga sentiasa peka mengenai aspek keselesaan rakyat serta penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa dengan perluasan perkhidmatan tersebut, Kementerian Kesihatan perlu menambah bilangan petugas kesihatan serta peralatan perubatan.

"Sehingga kini hampir 250,000 pesakit telah mendapat rawatan di K1M sekitar Kuala Lumpur manakala jumlah pesakit yang datang ke K1M di seluruh negara adalah lima juta orang," katanya.

Liow berkata, antara perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu dan anak yang bakal disediakan di K1M adalah ujian pap smear dan pemberian suntikan vaksin.

"Perkhidmatan ini bakal memberi manfaat kepada golongan ibu dan anak yang pendapatan rendah selain mempertingkat kemudahan penjagaan kesihatan kepada golongan terbabit. Malah inisiatif ini membolehkan mereka mendapat akses kepada khidmat perubatan dan penjagaan kesihatan yang lebih sempurna," katanya.

Petugas di K1M adalah jururawat terlatih dan penolong pegawai perubatan yang menawarkan khidmat perubatan bagi kes-kes ringan seperti sakit dan kecederaan biasa seperti demam, batuk, selesema dan luka kecil selain rawatan susulan bagi kencing manis dan darah tinggi.

Klinik itu adalah sebahagian daripada pengisian Gagasan 1Malaysia yang dihasilkan atas usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memberi fokus khas terhadap perhubungan harmoni antara kaum, penyatuan nasional dan pentadbiran efisien. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment