My Add

Saturday 15 September 2012

Hubungan antara etnik tak harus dipandang ringan: Lam Thye

KUALA LUMPUR, SABTI, 15 September, 2012: Hubungan antara kaum dan keharmonian beragama di negara ini tidak harus dipandang mudah walaupun secara keseluruhannya berada dalam keadaan memuaskan, kata aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye hari ini.

Lee, yang juga ahli pemegang amanah Yayasan 1Malaysia, berkata rakyat pelbagai kaum di negara ini mesti peka dengan keperluan untuk mewujudkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain dan berwaspada terhadap sensitiviti agama serta budaya.

Katanya, proses memperkukuh perpaduan di Malaysia adalah satu usaha berterusan, dan apa yang sudah dikecapi selama ini mesti dikekalkan.

"Kebanyakan orang mengambil mudah soal perpaduan dan ia bukan sesuatu yang sihat untuk negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Lee berkata, perpaduan seharusnya bermula daripada pemikiran, emosi dan kelakuan seseorang individu dan ini diterjemahkan melalui layanan serta khidmat kepada orang lain.

Selain itu, Lee berkata sambutan perayaan seperti Hari Malaysia sepatutnya menyuntik semangat patriotik ke arah memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata, perayaan Hari Malaysia mempertingkatkan lagi kepentingan intergrasi wilayah dan etnik serta perpaduan negara.
"Dalam kita menyambut Hari Malaysia, marilah kita berusaha mengukuhkan lagi hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia selaras semangat 1Malaysia," katanya.

Katanya, Sabah dan Sarawak adalah contoh yang praktikal dan jelas mengenai perpaduan antara kaum apabila rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum mampu hidup bersama dalam semangat 1Malaysia.

"Saya percaya bahawa menjadi rakyat Malaysia tidak merugikan sesiapa sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan kaum-kaum lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment