My Add
Saturday, 1 September 2012
Kekal bersatu, pertahan kemerdekaan
*NAJIBTun Razak menyampaikan Anugerah Cabaran Perniagaan Luar Bandar kepada pengusaha telur masin, Nur Amalina Abdullah sempena Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat kekal bersatu bagi mempertahankan kemerdekaan dan mengukuhkan lagi kekayaan, kemakmuran serta kekuatan negara.
Perdana Menteri berkata, kesemua perkara itu boleh dicapai melalui kerjasama tidak berbelah bahagi rakyat yang kini hidup dalam fasa ketiga merdeka, iaitu membawa makna kepada kemerdekaan.
Katanya, rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam menghadapi cabaran global alaf baru serta membantu Malaysia mencapai status negara maju seperti dirancang.
Beliau mengingatkan, perkongsian di antara rakyat dan kerajaan bukan hanya melibatkan janji kerajaan kepada masyarakat, malahan menuntut janji serta komitmen masyarakat terhadap negara.
"Kalau kita dakap janji ini, maka negara akan melonjak ke hadapan dengan lebih maju dan ingatlah sesungguhnya kemerdekaan hanya membuka pintu kepada setiap pertiwi sekali sahaja.
"Mari kita berganding, berjuang di setiap penjuru dan setiap ketika dengan lebih rapat lagi daripada seteru dan pembangkang yang hendak memporakperandakan negara," katanya ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Najib menambah, rakyat perlu setia bersama pimpinan negara untuk melaksanakan agenda transformasi kerajaan ke arah kejayaan, keunggulan dan kehebatan.
Beliau berkata, pimpinan kerajaan sekarang sejak kemerdekaan 55 tahun lalu telah terbukti berjaya mengubah landskap sosioekonomi negara ke arah yang jauh lebih baik.
Sebagai contoh, menurutnya, kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah mencatatkan kejayaan perkembangan ekonomi sebanyak 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini yang disifatkan sebagai menongkah arus oleh akhbar antarabangsa, International Times.
Selain itu, katanya, nilai Bursa Malaysia yang meningkat sebanyak 116 peratus sepanjang tiga tahun bermula 2009 sehingga 2011 dan kedudukan Malaysia dalam tawaran awam permulaan (IPO) di tempat ketiga dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan China membuktikan kemakmuran negara.
"Kejayaan negara merangkumi setiap lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina dan India sehinggakan kaum minoriti seperti Bidayuh, iaitu Pandelela Rinong turut mendapat manfaat apabila berjaya mendapatkan pingat gangsa pada Sukan Olimpik London baru-baru ini," katanya. - UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment