*RAZALI Zakaria menunjukkan cetakan daripada internet berhubung penghinaan dan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri ketika membuat laporan polis mengenai di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 2012: 31 Ogos - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun laman sosial Facebook yang didakwa mengeluarkan komen berunsur ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Laporan itu dibuat oleh Gerakan Memartabat Pejuang Negara Malaysia (GPMN), Suara UMNO dan Martabat Jalinan Muhibah (MJM) pada pukul 3.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Presiden GPMN, Razali Zakaria berkata, pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama 'Aqyun Firdani' itu didakwa mengemas kini statusnya dalam laman sosial itu berunsur ugutan bunuh kepada Perdana Menteri.
"Kami mahu polis menyiasat pelaku ugutan ini yang berani mengeluarkan kenyataan begitu biadab dan seolah-olah mahu mengugut Perdana Menteri.
"Kenyataan Aqyun Firdani ini dianggap mampu mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia dan ia perlu dibanteras kerana kami tidak mahu pemimpin kita dihina dan diugut sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan polis.
Beliau berkata, kenyataan ugutan itu telah dimuat naik dan disiarkan dalam beberapa blog tempatan antaranya 'Kulaan Niring' dan 'Anak Seberang'.
Berdasarkan pemerhatian yang dibuat Utusan Malaysia terhadap akaun tersebut mendapati, Aqyun Firdani merupakan bekas pelajar Kolej PTPL yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.
Malah dalam Facebook miliknya, dia dengan lantang mengutuk kerajaan dalam setiap status yang dikemaskini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment