My Add

Friday 28 September 2012

Kelas peralihan dimansuh 2017 - Muhyiddin
 *MUHYIDDIN Yassin bergambar bersama peserta dari Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah yang muncul sebagai juara kategori Forum dan Koir pada majlis penyampaian hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2012 di Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 September, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelas peralihan di sekolah menengah kebangsaan (SMK) di seluruh negara dijangka dapat dimansuhkan menjelang 2017.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, proses itu akan memendekkan tempoh persekolahan murid-murid sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) yang memilih SMK.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan itu dapat dilakukan selepas kurikulum Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT diseragamkan dengan kurikulum sekolah kebangsaan (SK) bermula dengan murid tahun empat pada 2014.

"Selama ini, penguasaan bahasa kebangsaan yang seragam di semua sekolah agak sukar dicapai kerana standard kurikulum Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT adalah berbeza dengan di SK.

"Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, kerajaan bercadang melaksanakan kurikulum yang sama dan berharap penguasaan bahasa Malaysia murid-murid di SJKC dan SJKT akan meningkat dan setara dengan rakan-rakan mereka di SK," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2012 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang seragam, pihak kementerian akan memastikan murid-murid di SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran bahasa itu diberikan sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu.

"Kementerian juga akan memastikan pelaksanaan kurikulum itu tidak membebankan murid-murid SJKC dan SJKT yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama untuk mata pelajaran lain," ujarnya.

Beliau menambah, latihan secukupnya juga akan diberikan kepada guru-guru Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT agar mereka dapat mengajar dengan baik dan berkesan.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya, Muhyiddin menegaskan, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menerima memorandum tuntutan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) semalam merupakan pandangan peribadi menteri berkenaan.

"Saya sudah tanya beliau pagi ini, sepatutnya beliau tak buat kenyataan sebegitu. Apa yang dimaksudkan adalah pandangan peribadi beliau. Saya sudah jelaskan, kita (kerajaan) ada pendirian dan polisi kerajaan adalah jelas.

"Kalau nak serah memorandum, kita tak tolak. Segala tuntutan akan kita kaji. Kalau berkaitan soal pentadbiran dan guru, itu (perkara) lama. Kita dah tubuh jawatankuasa (untuk selesaikan masalah)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment