My Add

Friday 28 September 2012

WSJ puji nasihat Najib tolak keganasan bantah filem anti-Islam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 September, 2012: Nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar umat Islam bertindak secara aman dalam membantah filem anti-Islam, Innocence of Muslims serta majalah Charlie Hebdo di Perancis yang menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW mendapat pujian Wall Street Journal (WSJ).

Malah, WSJ menerusi ruangan Review & Outlook Asia turut mengalu-alukan seruan Najib terhadap umat Islam supaya tidak menggunakan keganasan untuk menunjuk perasaan.

“Maklum balas (nasihat) Perdana Menteri Malaysia minggu lalu kepada umat Islam berhubung bantahan terhadap filem serta karikatur itu selayaknya mendapat pujian.

“Penolakan beliau terhadap aktiviti ekstremis jelas bertentangan dengan beberapa pemimpin Islam lain seperti seorang menteri Pakistan menawarkan AS$100,000 (sebagai ganjaran untuk membunuh penerbit filem itu,’’ jelas WSJ seperti dipetik menerusi laman webnya, http://asia.wsj.com hari ini.

Pada 20 September lalu, Najib dalam laman blognya, http://1malaysia.com.my berkata, filem Innocence of Muslims dan karikatur Nabi Muhammad SAW merupakan penghinaan kepada umat Islam dan wajar dikutuk oleh pemimpin dunia.

Namun, beliau menyeru umat Islam supaya terus bertindak secara aman dan bukannya berpaling kepada keganasan untuk menunjuk perasaan.

WSJ menambah, Najib turut mengajak masyarakat antarabangsa untuk menyertai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diilhamkannya semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), dua tahun lalu.

“Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton turut menyokong konsep itu (GMM)," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment